fbpx
Gambar hiasan

Penjawat awam ‘pulun’ OT siang malam bayar hutang bank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan seorang suami yang merupakan penjawat awam berhutang tanpa batasan dengan beberapa bank mengakibatkan isterinya terpaksa bergolok bergadai selepas menerima surat saman isytihar bakal muflis.

Menerusi perkongsian pengguna Threads, wanita tersebut tampil kecewa apabila suami yang hidup bermewahan pada awal perkahwinan akhirnya terduduk apabila gaji di dalam penyata akaun bank lelaki tersebut negatif bahana hutang bank.

“Elaun suami sebagai penjawat awam buatkan hidup kami nampak mewah, dapat beli semua perabot, makanan mahal setiap hari, duduk hotel setiap bulan, kereta dan motor mahal.

“Kadang-kadang saya tegur suami janganlah buat pinjaman semata-mata hendak berfoya-foya macam ini. Ramai dah kita tengok hilang semuanya sebab hutang, tetapi dia (suami) sangat tak suka bila sebut pasal duit.

“Selepas lima tahun berkahwin, terduduk saya bila dapat surat saman dan muflis kalau tak bayar pinjaman beribu-ribu ini dalam masa seminggu. Habis bergadai emas, harta saya, barang-barang perabot terpaksa dijual, motosikal, kereta dijual semata-mata nak selamatkan nama,” ujarnya.

Dakwa wanita itu, suaminya merupakan seorang yang tidak sabar selain seronok memegang wang di tangan.

“Duit habis je, buat pinjaman baru. Sekarang dia ‘overtime’ siang malam hanya untuk ‘cover’ hutang. Jumpa hanya beberapa jam sehari, itu pun dia mesti nak berehat dan tidur. Sunyi betul hidup saya,” katanya.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila lelaki tersebut turut pernah curang hingga terlanjur dengan pekerja pembersihan wanita di tempat kerja selain melanggan pekerja seks.

“Belum kira berapa banyak duit dia habis dekat aplikasi janji temu,” luahnya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai menasihati pemilik akaun untuk menyelamatkan diri daripada perkahwinan tersebut.

“Hal tiada duit aku tak kisah lagi tapi kalau dah melanggan pelacur memang tak boleh dimaafkan,” komen @masj7749

“Awak berhak pada maruah, keselamatan, dan ketenangan jiwa. Boleh ke pejabat agama Islam negeri untuk kaunseling dan tindakan lanjut,” kata Aida.

“Kalau nak kahwin dengan penjawat awam selepas ini kena lebih berhati-hati sehab kebanyakan memang hutang keliling pinggang,” komen @Rosehansie

“Bila berhutang ni memang yang kena tempiasnya isteri dan anak sekali. Jangan rahsiakan hal kewangan dengan isteri kerana mereka (isteri) pun berhak tahu,” kata Nurida. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI