fbpx
Tertuduh diiringi pegawai SPRM selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memberi suapan berjumlah RM2,000 sebagai upah mendapatkan projek penyewaan generator. Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON / KOSMO!

Pengarah urusan dijel sehari, denda RM10,000 sogok projek generator

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta dipenjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memberi sogokan berjumlah RM2,000 bagi mendapatkan projek sewaan generator, tiga tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Lee Kau Lik, 63, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati secara rasuah memberikan kepada seorang individu satu suapan, iaitu wang berjumlah RM2,000.00 secara pindahan atas talian ke akaun Public Bank milik isteri individu tersebut.

Wang itu sebagai upah bagi membantu syarikat tertuduh mendapatkan projek bagi Penyewaan Genset bernilai RM166,500.

Perbuatan itu dilakukan di Public Bank Cawangan Tengkera dalam daerah Melaka Tengah pada 5 November 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal kesalahan itu atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Ia mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Terdahulu, Peguam KP Quek yang mewakili tertuduh merayu hukuman paling minima dikenakan ke atas anak guamnya kerana ia merupakan kesalahan pertama, selain tertuduh telah sedar dan insaf atas kesalahan yang dilakukan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana binti Nor Sa’ari bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman sehari dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN