PUTRAJAYA – Mana-mana pelajar yang terjejas di negeri terlibat banjir diberi kelonggaran untuk tidak memakai seragam sekolah bagi pembukaan persekolahan selepas Cuti Penggal 2 Sesi 2025/2026.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya berkata, bagi murid terkandas dan tidak dapat hadir ke sekolah, mereka boleh mengikuti pembelajaran secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“KPM pada waktu ini sedang melakukan persiapan bagi pembukaan sekolah selepas Cuti Penggal 2. Ini termasuk melakukan kerja pembersihan dan bantuan penyelenggaraan sekolah terjejas banjir.
“Murid terjejas banjir diberi kelonggaran untuk tidak memakai seragam sekolah. Murid terkandas dan tidak dapat hadir ke sekolah boleh mengikuti PdPR,” katanya hari ini.
KPM turut menyediakan bantuan sewajarnya kepada murid terjejas termasuk aspek penyediaan bahan pembelajaran dan sokongan psikososial dan emosi.
“Ibu bapa atau penjaga murid, guru, pegawai dan anggota kumpulan pelaksana yang terjejas diminta untuk memaklumkan situasi masing-masing kepada pihak sekolah atau jabatan.
“Pihak sekolah dan pejabat pendidikan daerah diminta untuk mendapatkan maklumat terkini situasi banjir daripada sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana negeri, jabatan pendidikan negeri dan agensi berkaitan,” katanya.
Sementara itu, KPM memaklumkan setakat pukul 8 pagi hari ini, sebanyak 69 buah sekolah di Sabah dan Sarawak terjejas dalam kejadian bencana tersebut.
Ia melibatkan 33 sekolah rendah dan lima sekolah menengah di Sabah, manakala di Sarawak meliputi 28 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah.
Selain itu, sebanyak tujuh institusi pendidikan KPM Sabah beroperasi sebagai pusat pemindahan sementara. – KOSMO! ONLINE