fbpx
Johari ketika berucap di Majlis Perasmian MSPO Impact Alliance di Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

Pekebun kecil tidak akan tersisih dalam tekanan EUDR – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan komitmen untuk memastikan pekebun kecil minyak sawit terus dilindungi dan tidak tersisih susulan pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tekanan antarabangsa terhadap industri sawit semakin meningkat, dengan pembeli global kini menuntut ketelusan penuh dan pematuhan ketat kepada piawaian kelestarian.

Menurut Johari, sekitar 450,000 pekebun kecil yang membekalkan sebahagian besar minyak sawit negara adalah kumpulan paling terdedah terhadap peraturan baharu EUDR.

Katanya, MSPO Impact Alliance akan berperanan sebagai platform berstruktur untuk memetakan dan mendokumenkan kebun pekebun kecil bagi memenuhi tuntutan kebolehkesanan digital dan bebas penebangan hutan yang ditetapkan EU.

Justeru, katanya, penubuhan MSPO Impact Alliance dilihat penting bagi memperkukuh daya saing Malaysia dalam pasaran dunia sambil mempertahankan hak pekebun kecil.

“Pensijilan tidak boleh kekal statik. Ia mesti berkembang dan diperkukuh mengikut jangkaan global.

“Melalui MSPO Impact Alliance, kita mahu memastikan pekebun kecil tidak diketepikan daripada rantaian bekalan global walaupun peraturan semakin ketat,” katanya ketika melancarkan gabungan itu di sini, hari ini.

Johari berkata, inisiatif seperti ‘EUDR-readiness sandbox’ akan dilaksanakan bagi memetakan dan mendokumenkan lot pekebun kecil supaya memenuhi syarat EUDR tanpa menjejaskan kedudukan mereka dalam perdagangan antarabangsa.

Menurutnya, Kesatuan Eropah baru-baru ini mengiktiraf MSPO sebagai skim kelestarian yang kredibel dengan sistem kebolehkesanan digital bertaraf tinggi, hasil dialog berterusan Malaysia-EU.

“Pengiktirafan EU bukan sahaja menunjukkan kredibiliti MSPO, tetapi juga keyakinan mereka terhadap kemampuan Malaysia melaksanakan amalan lestari di lapangan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa lawatan Pesuruhjaya EU, Jessika Roswall, ke Pulau Carey awal bulan ini dan pertemuan dengan pekebun kecil MSPO telah memberikan keyakinan bahawa Malaysia serius memastikan piawaian antarabangsa dipatuhi tanpa mengabaikan kebajikan pengeluar kecil.

Johari menegaskan, MSPO Impact Alliance bukan sekadar platform promosi, tetapi medan sebenar untuk menguji inovasi, memperkukuh perlindungan buruh, dan membuka laluan baharu dalam pembiayaan hijau.

“Kerjasama rentas sektor daripada syarikat global seperti Nestlé dan Unilever, institusi kewangan seperti Maybank dan CIMB, hingga badan bukan kerajaan seperti WWF, akan memastikan semua pihak memainkan peranan untuk melindungi kelestarian dan kesejahteraan pekebun kecil,” katanya.

Beliau berharap mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MSPO Impact Alliance yang dijadualkan dalam beberapa minggu akan datang akan merangka keutamaan strategik dan memastikan industri minyak sawit Malaysia kekal berdaya saing di tengah-tengah cabaran global.

“Kita tidak akan membiarkan pekebun kecil menjadi mangsa tekanan antarabangsa. Malaysia akan terus berjuang untuk memastikan kelestarian minyak sawit tidak meminggirkan golongan ini,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI