BUENOS AIRES – Pihak berkuasa Argentina semalam menyita aset daripada dua adik-beradik Diego Maradona, peguamnya serta tiga individu lain kerana mendapati berlaku penipuan dalam pengurusan jenama mendiang, demikian menurut keputusan yang diperoleh AFP.
Sebuah mahkamah rayuan di Buenos Aires mendakwa bekas peguam Maradona, Matias Morla, dan dua pembantunya atas tuduhan menipu dalam mengendalikan aset ikon bola sepak itu.
Dua adik-beradik mendiang iaitu Rita dan Claudia serta seorang notari turut didakwa sebagai rakan subahat kes tersebut.
Mahkamah memerintahkan supaya aset bernilai AS$1.34 juta (RM5.64 juta) untuk semua tertuduh disita.
Anak-anak Maradona telah menyatakan bahawa jenama dan anak-anak syarikat milik mendiang sepatutnya dipindah milik kepada mereka apabila dia meninggal dunia pada tahun 2020 ketika berusia 60 tahun.
Mahkamah sama menyatakan, perniagaan pengurusan jenama Morla hanyalah penyamaran, kerana Maradona lah yang mengawal asetnya sehingga dia meninggal dunia.
Mahkamah memerintahkan aset tersebut dikembalikan ‘segera kepada warisnya’.
Dua anak perempuan Maradona iaitu Dalma dan Giannina mula memfailkan saman terhadap Morla dan defendan lain pada tahun 2021. – AFP