KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) meneruskan rentak kemenangan dengan menundukkan Melaka FC 4-0 pada aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini malam ini.
Kemenangan itu meletakkan skuad Sang Penyu naik ke tangga kedua liga dengan 10 mata, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah anak buah K. Devan yang sebelum ini mencatatkan tiga keputusan seri berturut-turut.
Tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang Yann Mabella hasil hantaran lintang Azam Azmi Murad pada minit ke-26 menjadi tonik buat TFC sebelum Nurillo Tukhtasinov menambah gol kedua.
Malang bertimpa buat Melaka apabila Che Rashid Che Halim dibuang padang pada minit ke-45 kerana sengaja menahan bola dengan tangan di kawasan kotak penalti, sekali gus menghadiahkan sepakan penalti buat skuad Sang Penyu.
Pemain import dari Brazil, Careca mudah menyempurnakan sepakan penalti itu untuk mengukuhkan lagi kedudukan TFC menjadi 3-0.
Beraksi dengan kelebihan seorang pemain, TFC terus menekan benteng lawan dan menambah derita Melaka pada penghujung masa kecederaan babak pertama apabila Yann sekali lagi meledak untuk menjadikan kedudukan 4-0.
Bersambung babak kedua, Melaka cuba bangkit dengan lebih tersusun apabila beberapa asakan TFC berjaya dipatahkan, biarpun skuad tuan rumah terus mencipta deretan peluang untuk menambah jaringan. – KOSMO! ONLINE