KUALA TERENGGANU – Sehari selepas tular, kolam berlumut dan struktur kayu platform berhampiran Masjid Kristal di sini yang menjadi rungutan ramai kembali pulih diselenggara pengurusan Taman Tamadun Islam (TTI).
Tinjauan Kosmo! hari ini mendapati kolam yang berlumut tersebut sudah dibersihkan, manakala penggantian baharu juga dilakukan terhadap beberapa struktur kayu yang reput sebelum ini.
Pengurus Besar TTI, Mohd. Fadhil Wahab menafikan pihaknya sengaja membiarkan Masjid Kristal yang merupakan antara monumen ikonik pelancongan Terengganu berada dalam keadaan uzur.
Sebaliknya, beliau menegaskan kerja-kerja penyelenggaraan TTI yang seluas 23 hektar sedang dilaksanalan secara berperingkat.
“Hujan lebat berturut-turut yang turun sejak beberapa hari sebelum ini menyebabkan air kolam tersebut menjadi kotor dan berlumut.
“Apapun kita sudah membersihkannya semalam. Gambar (kolam berlumut) yang tular itu berlaku sebelumnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Fadhil berkata, kerja-kerja penyelenggaraan TTI termasuk Masjid Kristal telah berlangsung sejak berakhirnya pandemik Covid-19 kira-kira tiga tahun lalu dan ia mengambil masa ekoran keluasan kawasan dan kosnya yang tinggi.
Terdahulu, segelintir pengunjung Masjid Kristal pada musim cuti persekolahan ini meluahkan ketidakpuashatian mereka di media sosial berikutan beberapa fasiliti kawasan tersebut yang uzur dan tidak terjaga. – KOSMO! ONLINE