LONDON – Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Britain yang disusuli kunjungan beliau ke atas monarki Britain, Raja Charles III di istana mencetuskan protes besar di London dan Windsor, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
Polis menganggarkan kira-kira 5,000 penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Parlimen, London, manakala protes lebih kecil diadakan di luar Istana Windsor.
Protes itu dianjurkan oleh Stop Trump Coalition, yang merupakan gabungan lebih 50 kesatuan dan badan amal.
Sebahagian penunjuk perasaan membawa sepanduk bertulis slogan seperti ‘katakan tidak pada perkauman’, ‘katakan tidak kepada Trump’ dan ‘berhenti memberi senjata kepada Israel’, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Belon gergasi Trump setinggi 6 meter yang pernah menyambut kedatangannya pada 2019 kini dibuat dalam versi lebih kecil dan dibawa oleh sebilangan penunjuk perasaan.
Timbalan Penolong Komisioner Polis Metropolitan London, Louise Puddefoot berkata, pihaknya berhubung rapat dengan penganjur dan meminta mereka supaya bertimbang rasa terhadap komuniti tempatan dan meminimumkan gangguan.
Sebelum demonstrasi bermula, jurucakap Stop Trump Coalition berkata: “Kerajaan yang tunduk kepada Trump dan rasisme adalah kerajaan yang membuka pintu kepada fasisme.”
Tambahnya, mereka mahu menunjukkan bantahan untuk mengalahkan politik Trumpisme dan mempromosikan visi dunia alternatif yang demokratik berasaskan keamanan, keadilan sosial dan kerjasama antarabangsa.
Pada malam kelmarin, Raja Charles dan Permaisuri Camilla menganjurkan jamuan, di mana baginda dan Trump turut menyampaikan ucapan. – AGENSI