KUALA PILAH – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal yang dia tunggang dirempuh sebuah kereta di Jalan Kuala Pilah-Tampin, berhampiran Klinik Kesihatan Johol semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza dan motosikal jenis Honda Dash.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan cuba memotong kenderaan lain ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Bahau.
“Kereta itu kemudian hilang kawalan lalu melanggar motosikal yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kejadian tersebut, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah,” katanya ketika dihubungi. – KOSMO! ONLINE