PETALING JAYA – Sebuah klinik haiwan menggesa pemilik arnab supaya tampil bertanggungjawab selepas haiwan itu ditinggalkan dalam kotak bersama sepucuk surat di tepi premis berkenaan.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @Catwithrealeyes, surat yang ditinggalkan menjelaskan, pemiliknya terpaksa melepaskan arnab bernama Stormy kerana tidak mempunyai masa untuk menjaganya.
“Kepada pemilik arnab yang membuang atau memaksa orang lain untuk mengambil tanggungjawab anda, sila tampilkan diri. Klinik haiwan bukan tempat pembuangan haiwan tidak diingini.
“Kami beri sehingga penghujung hari ini sebelum kami buat laporan polis. Pembuangan haiwan adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.
Menurut klinik berkenaan, kotak berisi Stormy ditemui selepas pemilik kedai bersebelahan melihat arnab itu melompat keluar dan berkeliaran di sekitar kawasan klinik.
Tinjauan ke ruangan komen mendapati ramai pengguna media sosial berkongsi pengalaman serupa, apabila mereka pernah mengambil dan memelihara haiwan terbuang kerana simpati terhadap nasib haiwan tersebut.
“Kucing saya sekarang pun, orang buang tepi jalan dulu. Kasihan sebab dia (kucing) basah akibat hujan, sudahlah masih kecil,” kata @Jazmin.
“Teringat semasa kerja kedai haiwan dulu, dalam seminggu ada dua ke 3 kali orang akan buang kucing dan beri nota,” komen @Cake_anis.
“Mudah betul buang haiwan, mula-mula bela tak fikir ke benda macam ini? Sekarang menyusahkan orang pula,” kata @Haneef. – KOSMO! Online