KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju industri halal dunia dan memposisikan sektor berkenaan sebagai model ekonomi sejagat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, industri halal bukan sekadar label, ia kini simbol kepercayaan antarabangsa berpaksikan kebersihan, integriti dan akauntabiliti.
Ujar beliau, pendekatan itu akan terus menjadi sebahagian perbincangan dua hala Malaysia di peringkat global dan penyumbang utama kepada misi antarabangsa negara.
Jelas beliau, kekuatan Malaysia dalam industri itu disokong dengan pensijilan halal yang diiktiraf di hampir 50 negara hasil kerjasama dengan badan-badan akreditasi.
“Industri halal telah berkembang menjadi sektor dengan potensi besar dalam perdagangan yang menghubungkan semua negara.
“Pasaran halal bukan hanya tertumpu kepada dunia Islam, tetapi turut meliputi pasaran global,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan telah menetapkan sasaran berani iaitu sektor halal menyumbang RM231 bilion atau 10.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030.
Menurut beliau, sasaran itu ditetapkan melalui Rangka Tindakan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) dan Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Kata Anwar, pasaran halal global ketika ini dianggarkan bernilai RM16.02 trilion dan dijangka meningkat kepada RM22.88 trilion menjelang 2030.
“Malaysia mempunyai hampir 10,000 syarikat diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap pematuhan standard halal dengan lebih 80 peratus membabitkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
“Kerajaan Madani akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh peranan dan kedudukan mereka dalam pasaran global,” katanya.
Terdahulu Perdana Menteri menjelaskan, konsep halalan tayyiban bukan hanya dari sudut apa yang diharamkan dalam konteks fiqh.
Ujar beliau, halalan tayyiban malah adalah pandangan menyeluruh tentang perdagangan, perniagaan dan kehidupan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, industri halal kini telah berkembang melangkaui sektor makanan dan minuman.
Katanya, ia merangkumi keseluruhan spektrum pematuhan syariah termasuk kesihatan, perubatan, kosmetik, pelancongan dan kewangan Islam.
Tambah beliau, industri halal juga mencerminkan komitmen global terhadap nilai berasaskan agama, etika serta keadilan sekali gus menjadi contoh praktikal dakwah melalui tindakan dan akhlak. – KOSMO! ONLINE