BATU PAHAT – Seorang bapa tunggal dua anak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan kanak-kanak perempuan yang juga anak teman wanitanya, tahun ini.
Tiada pengakuan direkodkan berikutan tertuduh, Kenneth Ong Peng Quan, 42, tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Peng Quan memohon agar pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Mahkamah menetapkan 22 September ini bagi sebutan semula kes dengan kehadiran jurubahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menganiayai kanak-kanak berusia enam tahun hingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah rumah, Kampung Merdeka di sini, antara Februari hingga September tahun ini.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) akta sama.
Hukuman bagi Seksyen 31 (1) ialah denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun manakala Seksyen 31 (2) iaitu tambahan hukuman yang mana boleh dikenakan suatu bon berkelakuan baik bagi suatu tempoh.
Selain itu, mahkamah juga boleh memerintahkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat tidak melebihi 240 jam selama enam bulan dari tarikh perintah dikeluarkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM30,000 terhadap tertuduh sementara menunggu hari sebutan pertuduhan.
Selepas mempertimbangkan hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 serta syarat tambahan yang mana tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran.
Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh tidak boleh menganggu mangsa atau saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport sehingga kes selesai. – KOSMO! ONLINE