fbpx
Ahmad Zahid (tengah) bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Majlis Pelancaran Ensiklopedia Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Penyerahan Watikah Penterjemah dan Pentashih Mawsu'ah Ahadith al-Qiyam, di Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

DBP lancar enam ensiklopedia, pacu Malaysia sebagai pusat rujukan ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini melancarkan enam ensiklopedia baharu, sekali gus memperkukuhkan tradisi keilmuan dan diplomasi ilmu di peringkat antarabangsa.

Majlis pelancaran yang berlangsung tersebut turut disertai penyerahan watikah pelantikan kepada 22 penterjemah dan enam pentashih bagi projek Ensiklopedia Hadis Nilai (Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata, penerbitan ensiklopedia bukan sekadar pengumpulan fakta.

Sebaliknya jelas beliau, ia berperanan sebagai infrastruktur intelektual bangsa yang membimbing arah ketamadunan dan meneguhkan jati diri negara.

“Ensiklopedia ialah pelaburan jangka panjang, bukti keyakinan kita untuk membina sebuah masyarakat berpengetahuan, berdaya cipta dan berwibawa, serta mampu bersaing di pentas dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ensiklopedia Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Penyerahan Watikah Penterjemah dan Pentashih Mawsu’ah Ahadith al-Qiyam, di sini hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan, DBP adalah institusi paling layak memikul tanggungjawab besar ini memandangkan rekod peranannya sejak 1956 sebagai nadi persuratan bangsa, benteng bahasa serta wadah ilmu.

Terdapat enam ensiklopedia yang dilancarkan dalam majlis ini, iaitu Ensiklopedia Sastera Melayu, Ensiklopedia Ikan Air Laut, Ensiklopedia Penyakit Berjangkit, Ensiklopedia Ikan Air Tawar, Ensiklopedia Serangga dan Ensiklopedia Sains Nuklear.

Mengulas mengenai Ensiklopedia Hadis Nilai, beliau berkata, penerbitannya amat signifikan dalam memastikan hadis terus menjadi rujukan sahih dalam era digital.

Beliau turut menggariskan tiga langkah penting bagi memastikan ensiklopedia terus relevan dan memberi impak besar kepada masyarakat antaranya pendigitalan, pengantarabangsaan dan integrasi pendidikan.

Projek Terjemahan dan Penerbitan Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam (Ensiklopedia Hadis Nilai) pula adalah terjemahan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu.

Ensiklopedia ini mengandungi 3,788 hadis dengan pendekatan tematik yang mengupas nilai keimanan, kemasyarakatan, akhlak, politik, pentadbiran, ekonomi, keilmuan, kesihatan, alam sekitar, tahap emosi dan estetika.

Ensiklopedia ini diterbitkan oleh Dar al-Faruq, Amman, Jordan pada tahun 2022 yang ditulis oleh tiga orang ilmuwan dalam bidang hadis, iaitu Dr. Humam Abdul Rahim Said, Dr. Ahmad Muhammad Barhum dan Dr. Muhammad Humam Milhem.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN