fbpx
NAIM Daniel mengakui masih menerima tawaran persembahan namun berhati-hati membuat pilihan, dia sebaliknya lebih cenderung menghasilkan karya atau menulis lagu buat masa ini.

‘Bukan perjalanan mudah tapi setiap ujian mendewasakan saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Terheret kes amang seksual yang menjatuhkan reputasi, penyanyi Naim Daniel tetap bersyukur masih diberi peluang mengadakan persembahan walaupun mengakui pernah kehilangan beberapa peluang lain sebelum ini.

Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, mengakui hidupnya ketika ini bukan berada dalam fasa yang baik namun tetap perlu menghadapinya dengan berlapang dada.

“Ini bukan perjalanan mudah. Sudah tentu ada beberapa peluang yang saya terlepas. Tapi saya percaya setiap ujian hadir untuk mendewasakan saya. Hidup mesti diteruskan. Jadi, saya sibukkan diri dengan perkara yang berfaedah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Naim berkata dia kini banyak memberi fokus kepada penghasilan lagu selain memenuhi jemputan persembahan.

“Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran persembahan, namun lebih berhati-hati dalam memilih.

“Buat masa ini, mahu beri tumpuan penuh terhadap penulisan kerana itu saluran terbaik untuk saya berkarya.

“Menghasilkan lagu adalah tanggungjawab saya sebagai penyanyi dan anak seni,” ujarnya.

Tambah Naim, dia juga sentiasa memastikan dirinya kekal aktif dan dikelilingi oleh individu yang menyokongnya.

“Saya juga sentiasa berada dalam kalangan insan tersayang termasuk keluarga dan rakan-rakan. Selain itu, saya juga pastikan diri kekal cergas. Kalau diri sendiri tidak sihat, bagaimana saya mahu jalani hari dengan baik? Cukup tidur, fokus dan kekalkan inspirasi dalam penulisan lagu,” ujarnya.

Hari ini, mahkamah menetapkan 15, 16 dan 18 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan bagi kes tersebut.

Naim yang diwakili Amirul Ridzuan Hanif, Mohd. Irwan Sumadi dan Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique juga memaklumkan akan membuat permohonan bantahan perbicaraan dilakukan secara ‘video link’ yang dimohon oleh pihak pendakwaan hari ini.

Terdahulu, Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, pada 17 Jun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.

Mengikut pertuduhan, Naim didakwa telah melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel bagi tujuan seksual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit hotel di Petaling Jaya, Selangor pukul 8.56 malam pada 19 Mei lalu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Mahkamah sebelum ini membenarkan Naim Daniel diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Sebelum ini, selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI