KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan dengan pimpinan tertinggi Thailand dan Kemboja semalam.
Menurut beliau, perbincangan melalui panggilan telefon diadakan bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
“Semalam saya sempat berbincang dengan Perdana Menteri Thailand dan juga Perdana Menteri Kemboja, itu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC)
Media semalam melaporkan, Hun Manet menuduh Thailand menghalang lebih 20 keluarga daripada pulang ke rumah mereka di sempadan yang menjadi pertikaian.
Tentera Thailand didakwa melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan Kemboja semasa pertikaian di perkampungan sempadan yang dipertikaikan.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu bersetuju terhadap gencatan senjata pada akhir Julai lalu selepas lima hari pertempuran yang mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang di kedua-dua belah pihak. – KOSMO! ONLINE