PETALING JAYA – Semua sekolah berasrama penuh termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) diwajibkan memiliki Ensiklopedia Hadis Nilai (Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam) yang dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ensiklopedia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu sedang melalui proses penterjemahan dan semakan yang dijadualkan selesai pada Disember ini.
Beliau berkata, pihaknya mengadakan kesepakatan bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk merealisasikan hasrat tersebut.
“Saya adakan persepakatan dengan Menteri Pendidikan agar semua sekolah berasrama penuh wajib membeli ensiklopedia ini. Saya juga akan berbincang dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki) supaya MRSM turut memiliki naskah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Ensiklopedia Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Penyerahan Watikah Penterjemah dan Pentashih Mawsu’ah Ahadith al-Qiyam, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan ensiklopedia tersebut untuk institusi pengajian tinggi, dengan menyatakan bahawa universiti-universiti di seluruh negara dijangka memerlukan beberapa jilid sebagai bahan rujukan akademik.
“Pejabat saya akan berusaha mencari dana tambahan bagi menampung kos penerbitan yang dijangka mencecah jutaan ringgit.
“Kita tidak mahu membebankan kerajaan, tetapi melalui penjualan dan kemungkinan cetakan semula, kos dapat dikurangkan dan pengedaran dapat diperluaskan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa beberapa institusi mungkin akan menerima naskah secara percuma bergantung kepada kemampuan kewangan semasa.
Ensiklopedia Hadis Nilai ini dilihat sebagai satu usaha penting dalam memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap nilai-nilai Islam melalui hadis, dan dijangka memberi impak besar kepada pendidikan serta pembangunan ilmu di negara ini.- KOSMO! ONLINE