KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti sebanyak 1,047 cerun di sepanjang jalan persekutuan di seluruh negara yang berisiko tinggi untuk runtuh terutamanya pada musim Monsun Timur Laut.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah tersebut adalah daripada keseluruhan 34,400 cerun yang dipantau pihaknya.
Katanya, pemantuan cerun berisiko itu dibuat menerusi Peta Bahaya dan Risiko Cerun yang dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Sebanyak 27,072 cerun di Semenanjung dikategorikan berisiko tinggi, selain Sabah (4,178), Sarawak (2,969) dan Labuan (181).
“Cerun-cerun berisiko tinggi ini tidak berada pada tahap sama, namun tetap berpotensi mengundang kejadian yang boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Taklimat Kesiapsagaan KKR Dalam Menghadapi Monsun Timur Laut 2025 di Bilik Gerakan Bencana (BigBen), Ibu Pejabat JKR di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, pihak JKR mula menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan sistem BigBen yang lebih efisien.
“Teknologi ini diharap dapat meningkatkan keupayaan sistem dan menambah baik langkah pengurusan cerun.
“Dengan teknologi ini, kita boleh memantau secara lebih menyeluruh dan menambah baik sistem supaya lebih bersedia menghadapi kemungkinan,” katanya. – KOSMO! ONLINE