SUNGAI PETANI – Seorang tukang rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak tirinya di sebuah lokasi penginapan di Kota Kuala Muda, dekat sini April lalu.
Lelaki berusia 51 terbabit membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 14 tahun lapan bulan di sebuah lokasi penginapan kira-kira pukul 12 tengah malam, 3 April lepas.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan minimum 10 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Banusha Jegathesan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan serta melapor diri di balai berdekatan setiap bulan.
Kes akan disebut semula pada 3 November depan bagi menunggu laporan perubatan. – KOSMO! ONLINE














