HULU SELANGOR – Seorang pemandu treler cedera ringan selepas kenderaan dipandunya melanggar belakang treler lain di Kilometer 430.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, kemalangan pada pukul 3.40 pagi itu membabitkan dua buah treler membawa muatan dedak dan minyak terpakai.
“Siasatan awal mendapati treler muatan dedak yang dalam perjalanan dari Pendang, Kedah ke Klang hilang kawalan sebelum merempuh belakang treler membawa minyak terpakai.
“Akibat rempuhan itu, treler muatan minyak terpakai terbabas ke lorong kanan dan muatannya tumpah atas lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba melakukan operasi membersihkan tumpahan minyak di lokasi kejadian bagi memastikan ia selamat digunakan pengguna lebuh raya.
“Pemandu treler dedak berusia 23 tahun cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan, manakala seorang lagi pemandu tidak cedera,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammadi Mt Abu @ Ramli di talian 03-60641222 atau mana-mana balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE