fbpx
Musa (kiri) menyifatkan Osman mempunyai keperibadian yang cukup disenangi termasuk sangat menjaga solat.

Sumud Flotilla: Doktor Turkiye jadi inspirasi Musa atas kapal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengasas Cinta Salam Malaysia, Musa Nuwayri, berkongsi pengalaman bermakna bersama seorang doktor dari Turkiye ketika sama-sama bertugas menjaga kapal dalam satu misi ke Gaza.

Menurut Musa, doktor berkenaan mempunyai keperibadian yang cukup disenangi termasuk sikap ringan tulang mengutip dan membasuh cawan yang bersepah, selain sangat menjaga solat.

“Setiap malam sebelum tidur, beliau akan datang kepada saya untuk minta dikejutkan bangun solat Subuh. Pernah juga saya terbangun pukul 1 pagi dan mendapati beliau sedang menunaikan solat malam di tempat tidurnya,” katanya menerusi Facebook.

Tambah Musa, doktor berkenaan yang dikenali sebagai Osman pernah berkongsi kisah peribadi bagaimana dirinya berubah selepas diuji dengan kematian abang kandung pada usia muda akibat serangan jantung.

“Dia cerita pada saya, masa masih bekerja dulu, hidupnya sangat jauh daripada Tuhan. Namun, peristiwa abang meninggal dunia secara mengejut benar-benar mengubah segalanya. Sejak hari itu, beliau mula membaca al-Quran bersama tafsir dan kehidupannya tidak pernah sama lagi,” katanya.

Musa berkata, pengalaman bersama doktor itu turut membuka ruang renungan mendalam apabila Osman mengaitkan ayat ketiga surah Al-Mulk dengan pemandangan indah matahari terbenam yang mereka saksikan di atas kapal.

“Beliau baca ayat tersebut dan meminta saya melihat terjemahannya.

Katanya, ciptaan Allah yang sempurna itu tiada sebarang kecacatan, sama seperti kehidupan yang penuh hikmah di sebalik setiap ujian,” jelasnya.

Musa menambah, perjalanan mereka di atas kapal itu menjadi peringatan bahawa setiap kehilangan ada pengajaran tersendiri, dan setiap jiwa yang ikhlas pasti dibimbing ke jalan kebenaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN