KULAI – Seorang penunggang motosikal maut selepas kenderaan dinaikinya terlibat dalam satu kemalangan yang dipercayai berpunca selepas seekor lembu melintas jalan secara tiba-tiba di Kilometer 4 Jalan Kulai-Kota Tinggi, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku pada pukul 1.05 pagi itu turut melibatkan sebuah lori, sebuah kereta serta tiga motosikal lain.
Jelasnya, mangsa yang meninggal dunia melibatkan seorang remaja berusia 19 tahun yang menunggang motosikal.
“Siasatan awal mendapati sebuah kereta dipandu wanita tempatan berusia 26 tahun telah melanggar seekor lembu yang tiba-tiba melintas jalan sebelum kereta tersebut memasuki laluan di arah bertentangan.
“Susulan itu, kereta tersebut bertembung dengan sebuah motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 44 dan 19 tahun. Sejurus kemudian tiga motosikal lain ditunggang tiga lelaki tempatan berusia antara 15 hingga 19 tahun merempuh bahagian belakang lori tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Seng Lee, akibat kejadian itu, seorang penunggang motosikal yang berusia 19 tahun dilaporkan maut di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut diminta membantu pegawai penyiasat di talian 017-7573507. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE