PETALING JAYA – Penganjuran satu pesta tanglung baru-baru ini di sebuah pantai di Pahang mengundang kecaman ramai.
Perkara itu kerana tanglung yang diterbangkan pengunjung ketika festival itu kini menjadi sampah di dalam laut dan di sekitar kawasan pantai berkenaan.
Menerusi perkongsian di Thread, kelihatan tanglung-tanglung tersebut yang dikatakan dibuat menggunakan bahan biodegradasi dan besi halus memenuhi kawasan pantai berkenaan.
“Keadaan selepas pesta tanglung. Adakah mereka ini tidak memikirkan akibat dari tindakan mereka?? Bagaimana mereka boleh lepas dengan pencemaran sebanyak ini. Kamu bayar RM100 untuk buat sampah,” kata Meraeleyya.
Selain itu turut kelihatan keadaan persekitaran tapak festival berkenaan yang dibiarkan tidak berkemas dan penuh dengan sampah-sarap.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mengecam penganjur acara tersebut yang tidak menjaga kebersihan persekitaran pantai berkenaan.
“Walaupun biodegradasi, itu tetap sampah. Orang akan sokong apa saja benda bodoh untuk tujuan ‘content’,” kata Atman.
“Memusnahkan hidupan marin, mencemarkan pantai dan alam sekitar,” kata Dlee.
“Festival begini perlu dihentikan segera,” kata Romi. – KOSMO! ONLINE