MUAR – Seorang penganggur berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar lebih lapan kilogram methampethamine awal bulan ini.
Tertuduh, Khor Kok Kheng, 34, hanya mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar methampethamine seberat 8,606 gram dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di persimpangan Jalan Sutera 2, Taman Sungai Abong pada pukul 12.30 tengah hari, 7 September lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu kerana belum menerima laporan kimia dan tidak menawarkan ikat jamin kerana kesalahan tersebut adalah serius dan tidak boleh dijamin.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 19 November ini.-KOSMO! ONLINE