KOTA BHARU – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memecah stor dengan niat mencuri di sebuah premis di Jalan Panchor, Kemumin di sini pada minggu lalu.
Tertuduh, Roshandie Che Mat, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memecah stor dengan niat mencuri di premis milik seorang lelaki kira-kira pukul 4.15 pagi pada 9 September lalu.
Roshandie dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda, jika melibatkan kecurian boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan jaminan kerana kes tersebut melibatkan jenayah yang mengganggu ketenteraman awam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan fakta kes dan hukuman. – KOSMO! ONLINE