PETALING JAYA – Saling menghadiahkan barang, pelakon Nora Danish semakin terbuka dalam berkongsi hubungan istimewanya dengannya dengan jejaka dikenali sebagai Mickey Ayo.
Paling mencuri tumpuan apabila Nora, 43, dan Mickey saling memuat naik foto memaparkan barang yang dibeli untuk satu sama lain dalam Instagram.
Menerusi perkongsian tersebut, Mickey dilihat menghadiahkan sepasang kasut sukan putih jenama QC kepada pelakon yang cukup dikenali menerusi sitkom Puteri berkenaan.
Kemudian, Nora pula membalas pemberian tersebut dengan membeli jam tangan sukan berjenama Suunto kepada Mickey.
Perkara tersebut menguatkan lagi khabar angin mereka mempunyai hubungan istimewa, namun masih memilih enggan mengesahkan lagi kepada umum.
Terdahulu, tidak semena-mena nama Nora menjadi sebutan ramai apabila dikatakan sudah mempunyai teman istimewa selepas memuat naik foto seorang lelaki memakai kopiah putih.
Turut tular adalah kad jemputan yang tertera huruf M dan N beserta tarikh 8 September 2025 sekali gus mencetuskan spekulasi pasangan ini bakal menamatkan zaman solo masing-masing dalam waktu terdekat.
Bagaimanapun, Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif menafikan spekulasi tersebut.
Untuk rekod, Nora pernah mendirikan rumah tangga bersama Nedim Nazri pada 30 Mac 2017, namun bercerai 19 Jun 2024.
Hasil perkahwinan, mereka mempunyai seorang cahaya mata bersama iaitu Mohamed Neqayl, 7.
Sebelum itu dia juga pernah berkahwin dengan Jejai pada 20 Jun 2006 dan berpisah pada 10 Julai 2008.
Mereka dikurniakan seorang anak, Putra Rayqal, 17 tahun. – KOSMO! ONLINE