KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya melaksanakan reformasi Parlimen melalui beberapa inisiatif utama seperti penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan pengenalan sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar lbrahim berkata, reformasi Parlimen yang sedang berlangsung itu penting bagi memperkukuh akauntabiliti demokrasi dan memastikan sistem tadbir urus yang benar-benar telus dan mencerminkan aspirasi rakyat.
Katanya, dengan sokongan padu Yang diPertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga Malaysia berjaya melaksanakan reformasi paling berani menerusi Akta Perkhidmatan Parlimen.
“Saya bangga menyatakan dengan sokongan kedua-dua Yang diPertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kita memperkenal satu perubahan yang sangat radikal iaitu Akta Perkhidmatan Parlimen.
“Ia satu pencapaian luar biasa kerana institusi Parlimen kini bebas sepenuhnya daripada pengurusan kerajaan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, reformasi Parlimen mendapat sokongan dwipartisan dengan pihak kerajaan dan pembangkang bersetuju dalam usaha memperkukuh kebebasan Parlimen.
Jelasnya, jawatankuasa pilihan melibatkan penyertaan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang bagi menyediakan mekanisme semak dan imbang pula memastikan Parlimen benar-benar mewakili suara semua pihak.
Waktu Pertanyaan Perdana Menteri pula meletakkan kerajaan di bawah pengawasan lebih ketat kerana Perdana Menteri perlu memberi jawapan secara langsung berhubung isu penting setiap minggu.
Anwar berkata, Waktu Pertanyaan Perdana Menteri merupakan satu wacana yang sihat membuatkan Perdana Menteri dan kerajaan sentiasa berhati-hati.
“Inilah yang memberikan makna sebenar kepada apa yang kita panggil sebagai akauntabiliti demokrasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














