PETALING JAYA – Kepentingan orang Melayu di Kampong Bharu akan terus terpelihara dan tidak akan diketepikan dalam sebarang perancangan pembangunan kawasan bersejarah itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, pendirian itu selari dengan titah pandangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj mengenai masa hadapan dan hala tuju pembangunan Kampong Bharu.
“Jabatan Wilayah Persekutuan menzahirkan komitmen bahawa setiap langkah pembangunan akan dilaksanakan dengan penuh hemah serta berpaksikan lunas undang-undang.
“Sebarang usaha untuk mengganggu-gugat keharmonian masyarakat atau mempolitikkan isu ini adalah tidak wajar. Kampong Bharu mesti kekal sebagai simbol kelangsungan maruah dan mengambil kira kepentingan orang Melayu di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaliha berkata, kerajaan akan terus memastikan pembangunan Kampong Bharu tidak menyisihkan masyarakat setempat sebaliknya memberi manfaat menyeluruh kepada generasi akan datang.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah agar isu pembangunan semula tanah di Kampong Bharu, Kuala Lumpur dikendalikan dengan teliti dan berhemah.
Titah baginda, keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu. – KOSMO! ONLINE