MELAKA – Seorang ibu tunggal dan anak perempuannya ditemukan maut dalam kereta pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dipercayai lemas akibat terhidu gas karbon monoksida di Jalan Solok Hilir Paya Rumput, di sini tengah malam tadi.
Mangsa, Zabanah Abu Hussin, 57, dan anaknya, Intan Nur Shafiqah Othman, 25, ditemukan dalam tidak sedarkan diri oleh orang awam pada pukul 12 tengah malam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat melalui panggilan MERS 999 pada pukul 12.24 tengah malam dan sepasukan anggota peronda digerakkan ke lokasi berkenaan.
“Setibanya di lokasi, kita mendapati ada dua wanita di dalam MPV tersebut dan kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Melaka.
“Kedua-dua mereka merupakan ibu dan anak yang menetap di Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah,” katanya.
Menurut beliau, mangsa disyaki lemas akibat keracunan gas karbon monoksida selepas berhenti untuk berehat tanpa mematikan enjin kereta.
“Semasa dijumpai, enjin kereta dan pendingin hawa dalam keadaan dihidupkan, tingkap juga tertutup. Kedua-dua mereka dijumpai dalam keadaan berbaring di kerusi hadapan.
“Mayat mereka dihantar ke Hospital Melaka dan proses bedah siasat dijalankan pada pagi tadi,” katanya.
Tambahnya, darah si mati dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis termasuk mengesan keracunan gas karbon monoksida. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- KOSMO! ONLINE














