IPOH – Bekas warden asrama sebuah maahad tahfiz di bandar raya ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki lima tahun lalu.
Hakim Jean Sharmila Jesudason membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Ikbal Izzuddin Abd. Rahim, 29, di akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, Jean Sharmila berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat fakta kes bagi pembuktian elemen pertuduhan dan penilaian maksimum ke atas keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Katanya, mahkamah mendapati terdapat percanggahan dan kelompongan dalam kes pendakwaan yang mana perkara itu tidak dijelaskan sama ada melalui siasatan polis dan keterangan saksi-saksi pendakwaan.
“Perkara ini menimbulkan keraguan munasabah kepada mahkamah. Maka mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri bagi kedua-dua pertuduhan,” katanya.
Selain itu mahkamah turut memerintahkan supaya wang jaminan dikembalikan semula kepada tertuduh.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama dan kedua, Muhammad Ikbal Izzuddin yang juga guru di maahad tahfiz tersebut didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 3 pagi di asrama pelajar lelaki maahad tahfiz di Ipoh pada Februari 2020. – KOSMO! ONLINE