PETALING JAYA – Seramai 60 pegawai Jabatan Imigresen (JIM) dikenakan tindakan buang kerja kerana terbabit dalam pelbagai salah laku sejak 2022 hingga tahun ini.
JIM dalam satu kenyataan berkata, tindakan tegas itu membuktikan komitmen jabatan dalam memastikan warga kerja kekal berintegriti, amanah dan bertanggungjawab, selaras dengan prinsip Kerajaan Madani.
“Sepanjang tahun 2024, sebanyak 254 kes tatatertib berjaya diselesaikan, manakala 199 kes ditangani pada tahun 2025.
“Bagi tempoh 2022 hingga 2025 pula, terdapat 301 kes tatatertib masih dalam siasatan termasuk 227 kes berkaitan pintu masuk negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, langkah yang diambil itu secara jelas menunjukkan kesungguhan JIM dalam melindungi kedaulatan negara dan menjaga kepentingan rakyat. – KOSMO! ONLINE















