fbpx
Gambar hiasan

Wanita muat naik sijil nikah palsu dengan kerabat raja layak dibicara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang didakwa atas tuduhan memuat naik hantaran sijil pernikahan palsu dirinya dengan kerabat diraja di TikTok layak dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Izzat Amir Idham selepas menerima laporan perubatan psikiatri tertuduh, Persana Avril Sollunda, 43.

“Berdasarkan laporan ini, tertuduh layak untuk dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam Jefvinder Singh berkata, pihaknya akan meneliti dokumen kes tersebut sebelum mengemukakan representasi.

Hakim Suhaila Haron menetapkan sebutan semula kes pada 13 Oktober ini selain tarikh perbicaraan bermula 3 hingga 5 Disember ini.

Pada 22 Julai lalu, Persana Avril diperintah menjalani rawatan dan pemerhatian psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Norma Ismail selepas membenarkan permohonan TPR Ravendejit Kaur bagi mendapatkan laporan kesihatan mental tertuduh sebelum prosiding diteruskan.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran video gambar sijil pernikahan palsu kerabat raja di TikTok dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 25 Februari lalu.

Hantaran video itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Menara KPJ di sini pada 26 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Wanita itu ditahan untuk disoal siasat pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada Mac lalu, tetapi dibebaskan selepas itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN