ALOR GAJAH – Seorang tokan diberkas selepas dikesan menyimpan kira-kira 1,500 peket dadah jenis heroin di dalam keretanya dipercayai untuk dijual kepada penagih sekitar negeri ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan di kawasan Jalan Industri Rumbia pada pukul 6.10 pagi, Jumaat lalu oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka.
Katanya, suspek yang memandu kereta Honda Jazz ditahan sewaktu menunggu pelanggan di hentian bas selepas mengambil bekalan di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan ke atas kereta yang dipandu suspek menemukan 1,500 peket plastik lutsinar disyaki berisi heroin seberat 2,129.30 gram (g) dan 100 peket plastik syabu seberat 96g.
“Kesemua rampasan itu bernilai RM35,000 dan kita percaya suspek menjadikan keretanya sebagai stor bagi aktiviti pengedaran dadah,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Katanya, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Benelli 150 milik suspek berharga RM5,000 menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM40,000.
Tambah beliau, hasil soal siasat, suspek yang bekerja sebagai kelindan lori dipercayai aktif mengedar dadah sejak Julai lepas selepas mendakwa gaji yang diperoleh tidak mencukupi.
“Bekalan dadah itu boleh digunakan seramai 2,500 penagih. Semakan mendapati suspek memiliki satu rekod berstatus ‘No Further Action’ di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE














