fbpx
Mohd. Khalid (dua kanan) menunjukkan rampasan dadah pada sidang akhbar berhubung kejayaan Op Pine di Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh MOHD FARIZWAN HASBULLAH / KOSMO!

Sindiket makmal haram tumpas, dadah RM598.9 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah jenis methylene-dioxy-methamphetamine (MDMA) atau ekstasi bernilai RM598.9 juta menerusi siri serbuan khas Op Pine di sekitar Lembah Klang pada 10 September lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, operasi yang digerakkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bermula dari pukul 8 pagi hingga 11 pagi itu turut membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 51 tahun.

“Keseluruhan rampasan melibatkan 3,586.45 kilogram (kg) dadah jenis MDMA yang mampu merosakkan kehidupan lebih 12 juta orang sekiranya terlepas ke pasaran.

“Malah, siasatan mendapati sindiket ini bukan sahaja menyasarkan pasaran tempatan, tetapi juga Indonesia dan Australia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, tiga serbuan dijalankan membabitkan premis di Taman Perindustrian Kepong, Kepong Industrial Park dan sebuah rumah di Dataran Templer, Selangor.

Dalam serbuan pertama di Kepong, polis merampas lebih 3.3 tan cecair dipercayai dadah MDMA, 1.2 tan bahan kimia, 213.7 kg serbuk kimia serta pelbagai peralatan memproses dadah.

Serbuan kedua pula katanya, polis menemukan 25.3 kg serbuk kristal MDMA, cecair MDMA (231.15 kg) , hampir satu tan bahan kimia dan sejumlah peralatan pemprosesan.

“Serbuan ketiga di sebuah rumah di kawasan Dataran Templer pula berjaya menahan seorang suspek, namun tiada penemuan dadah direkodkan di lokasi ini,” katanya.

Jelasnya, suspek yang ditahan berperanan sebagai koordinator, ahli kimia, pembantu dan pengangkut dadah.

“Seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 11 September lalu dan disambung semula reman selama seminggu lagi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain rampasan dadah Mohd. Khalid berkata, polis turut menyita lima buah kereta pelbagai jenis, sebuah forklift, wang tunai RM2,000, sebentuk cincin dan beberapa syiling emas dengan jumlah keseluruhan sitaan harta bernilai RM336,224. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI