WASHINGTON – Suspek pembunuh Charlie Kirk dihadapkan ke mahkamah menerusi sesi perbicaraan maya semalam dengan pendakwa raya menyatakan bahawa pihaknya meminta hukuman mati dikenakan terhadap suspek yang kesnya itu menggemparkan Amerika Syarikat (AS).
Kirk yang merupakan sekutu rapat Presiden Donald Trump dan pengasah kumpulan aktivis pelajar Turning Point USA, ditembak mati semasa acara di kampus sebuah universiti di Utah minggu lalu.
Kematian pempengaruh berumur 31 tahun itu mengejutkan penyokong dan pemimpin politik berhaluan kanan di seluruh AS.
Tyler Robinson, 22, dituduh menembak Kirk dari atas bumbung sebuah bangunan sehingga menembusi leher mangsa di hadapan ribuan pelajar yang berada di situ.
Operasi memburu suspek berakhir selepas 33 jam, apabila ibu bapa Robinson memujuknya sendiri untuk menyerah diri.
Robinson memakai pakaian pencegah bunuh diri ketika muncul dalam skrin semasa perbicaraan di sebuah mahkamah di Utah untuk mendengar pertuduhan terhadapnya.
Suspek turut dituduh melakukan pembunuhan itu selain turut menghalang undang-undang dan mengganggu saksi selepas mengarahkan teman sebiliknya supaya berdiam diri.
“Saya memfailkan notis untuk meminta hukuman mati. Saya membuat keputusan ini bukan sambil lewa dan ia keputusan bebas (tanpa tekanan) sebagai pendakwa raya county (kawasan) berdasarkan sepenuhnya kepada bukti dan natijah jenayah tersebut,” katanya. – AFP