fbpx
SERAMAI 13 belia dari Kedah dan Selangor berpeluang menyertai program FHC 2.0 di Osaka, Jepun baru-baru ini.

Peluang belia belajar ilmu kepimpinan di Osaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Buat pertama kalinya, Angkatan Belia Madani (ABM) Kedah dan Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA) Selangor bergabung tenaga menganjurkan program pengembaraan ke luar negara, ‘Fly High Chapter 2.0 Japan Backpacking Experience’ (FHC 2.0).

Bertempat di Osaka, Jepun, inisiatif itu menjadi wadah unik yang mempertemukan dua organisasi belia berbeza negeri dan kepakaran demi membuka ruang pembelajaran baharu kepada para peserta.

Lebih daripada sekadar sebuah percutian, program itu mengangkat nilai kepimpinan, keterampilan serta identiti belia Malaysia dalam konteks global.

Dengan berlatarbelakangkan Osaka iaitu sebuah kota moden yang sarat teknologi, sejarah dan budaya, para peserta diberi peluang menyelami pengalaman silang budaya.

Mereka juga berpeluang memahami cara pengurusan kendiri, meneliti kemajuan, daya tahan serta disiplin masyarakat Jepun.

Terpilih sebagai salah seorang peserta program, Nur Amila Edzua Mohd. Amran, 19, berkata, ia terasa bak mimpi indah dapat menyertai program itu.

Berkongsi dengan K-Remaja, remaja kelahiran Perak itu berkata, FHC 2.0 berbeza dengan program belia lain kerana ia menerapkan elemen ‘backpacking’.

“Terpilih menyertai program FHC 2.0 ibarat mimpi menjadi nyata. Ini merupakan kembara sulung saya ke negara Matahari Terbit. Saya percaya, keinginan untuk membawa nama Malaysia ke persada dunia dan menjadi duta kecil negara menjadi impian setiap anak muda.

“Melalui peluang ini, saya berasa sangat bangga dan gembira kerana keinginan dapat direalisasikan.

“Program ini bukan sekadar pengembaraan dan perjalanan, malah ia memberi peluang kepada saya untuk menimba pengetahuan serta pengalaman.

“Menerusi pengisian program yang dibuat, saya dapat menerokai dunia luar bagi mencari erti berdikari dan kehidupan,” katanya.

Untuk makluman, program tersebut dilaksanakan sepenuhnya oleh anak muda Malaysia yang berusia di antara 18 hingga 30 tahun. Mereka terdiri daripada mahasiswa pelbagai universiti dan ahli persatuan belia.

Seramai 13 orang peserta telah menyertai program selama lapan hari itu.

Program tersebut dimulakan dengan kunjungan hormat para peserta ke atas Timbalan Duta Jepun ke Malaysia, Nihei Daisuke.

Ketika kunjungan itu, para peserta berpeluang berinteraksi, bertukar pandangan dan idea mengenai persediaan serta perkara yang perlu dipelajari sepanjang berada di Jepun.

PARA peserta berpeluang melawat Osaka Castle.

Seterusnya, peserta mengadakan lawatan dan kunjungan hormat ke Japan Da’wah Centre (JDC) yang diusahakan oleh rakyat Malaysia iaitu Zulkarnain Hasan Basri.

Berkongsi pengalamannya bertemu dengan Zulkarnain, Nur Amila berkata, Zulkarnain memberi perspektif baharu tentang kemampuan anak tempatan untuk menyebarkan dakwah Islam di Jepun.

“Pertubuhan itu secara umumnya ditubuhkan untuk memberi pendedahan dan menyebarkan kefahaman Islam kepada rakyat Jepun.

“Melalui pertemuan ini, ia memberi perspektif bahawa rakyat Malaysia yang berada di perantauan juga mampu menyumbang kepada penyebaran dakwah.

“Ia juga menjadi medium penyatuan antara dua bangsa dan masyarakat berbeza,” katanya.

Para peserta juga berkesempatan mengunjungi Ekspo Dunia 2025 yang diadakan di Kansai, Osaka.

Ekspo itu dianjurkan setiap lima tahun sekali di negara berbeza, dan kali terakhir ia diadakan adalah di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

Melalui kunjungan tersebut, para peserta berpeluang memperoleh maklumat daripada lebih 160 negara yang mempamerkan kehebatan dan keunikan masing-masing dalam usaha menarik potensi pelaburan serta pelancongan.

Memandangkan program itu dianjurkan pada Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-68, para peserta berpeluang merasai pengalaman menyambut hari bermakna itu di bumi Jepun.

Kongsi Nur Amila, biarpun rakyat Malaysia hanyalah minoriti di sana, namun sambutan hangat daripada rakyat Jepun membuatkan dia berasa seolah-olah menyambut kemerdekaan seperti di negara sendiri.

“Perkara yang lebih menyentuh hati adalah sikap masyarakat Jepun yang begitu terbuka terhadap budaya luar hingga membuatkan kami tidak berasa terasing.

“Mereka datang dengan penuh minat, berinteraksi dan menghargai setiap elemen budaya yang kami persembahkan.

“Ia bukan hanya sebuah perayaan, sebaliknya mercu tanda hubungan erat antara dua bangsa berbeza yang bersatu dalam semangat kebersamaan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi ABM Kedah merangkap Ketua FHC 2.0, Muhammad Syafiq Salizam berkata, program tersebut merupakan latihan kepimpinan yang cukup bermanfaat buat peserta.

“FHC 2.0 bukan sekadar sebuah pengembaraan, tetapi latihan kepimpinan sebenar buat belia.

“Mereka berhadapan cabaran, membuat keputusan secara kolektif dan menjadi duta kecil Malaysia di luar negara,” katanya.

Bagi Timbalan Presiden MYHA Selangor merangkap ketua delegasi, Muhammad Amirul Shafiq Ahmad Zuperi, program tersebut berjaya membuka peluang kepada peserta untuk menyelami pengalaman antarabangsa yang sangat berharga.

“Kedua-dua persatuan ini berkongsi visi serta matlamat yang sama iaitu memperkasa belia agar lebih berdaya saing, berfikiran global, berkemahiran dan berjiwa patriotik,” jelasnya.

Muhammad Amirul Shafiq menambah, program itu juga memberi peluang kepada belia untuk meneroka dunia luar dengan lebih dekat.

“Selain itu, ia turut memperkukuhkan semangat kepimpinan, rangkaian antarabangsa serta pemahaman tentang budaya dan inovasi.

“Melalui pengalaman sebegini, para peserta diharapkan dapat membawa pulang ilmu, inspirasi dan nilai baharu yang boleh diterapkan demi manfaat belia serta pembangunan negara.

“Kerjasama erat antara dua pertubuhan belia dari dua negeri berbeza dengan sokongan pelbagai agensi dan antarabangsa menjadi bukti perpaduan.

“Kata sepakat adalah kunci dalam memperkasakan suara serta peranan belia di pentas dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN