KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil pihak berkaitan untuk dirakam percakapan berhubung siasatan melibatkan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY), Tang Yi Ze didakwa mengeluarkan kenyataan mencadangkan pemansuhan program matrikulasi.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, sehingga kini pihaknya menerima sekurang-kurangnya lima laporan polis berhubung kenyataan tersebut.
“Kita akan panggil pihak-pihak yang berkaitan untuk dirakamkan percakapan mereka.
“Setakat ini, kita ada menerima empat hingga lima laporan polis,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan, PDRM mengesahkan menerima lima laporan berhubung kenyataan yang dibuat oleh Presiden UMANY, Yi Ze baru-baru ini.
Kenyataan tersebut sebelum ini menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kenyataan itu didapati berpotensi mewujudkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara.
Beliau berkata, kenyataan tersebut sekali gus boleh mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat serta kegentaran awam.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE