SEBERANG PERAI – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sedang mengadakan perbincangan dengan Pulau Pinang dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bagi memohon lanjutan tempoh pajakan tanah tapak kilang penapisan gula milik Malaysia Holdings Berhad (MSM) sehingga 30 tahun.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, rundingan itu penting bagi mencari kelonggaran menentukan tempoh penggunaan tanah sebelum Felda berupaya memindahkan operasi ke lokasi baharu.
“Kalau boleh, biarlah tempoh operasi di sini dilanjutkan sehingga 30 tahun. Mengikut perjanjian asal, baki tempoh operasi sekitar lima tahun lagi.
“Namun, sebelum MSM mempunyai kemampuan untuk berpindah ke tempat lain, kita mengharapkan perkara ini diberi satu pertimbangan lain daripada yang lain.
“Jadi perkara ini bukannya kata-kata ada arahan esok ataupun bulan depan, tahun depan dan sebagainya. Perundingan sedang berlaku,” katanya selepas melawat kilang tersebut di Perai, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tempoh lanjutan operasi diperlukan bagi membolehkan pihaknya melakukan perancangan termasuk perangkaan pelan perniagaan dengan lebih teliti. – KOSMO! ONLINE