fbpx
DUPLANTIS melakukan catatan 6.30m pada saingan di Tokyo sekali gus memecahkan rekod dunia miliknya sendiri dalam acara lompat bergalah. - AFP

Duplantis bukan dari ‘planet bumi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOKYO – Jaguh lompat bergalah dunia, Armand Duplantis sekali lagi menggegarkan arena olahraga apabila memecahkan rekod dunia buat kali ke-14 dalam kariernya dengan catatan 6.30 meter (m), sekali gus merangkul emas pada Kejohanan Dunia di Tokyo, malam kelmarin.

Pingat emas sudah pun sah miliknya, namun atlet kelahiran Amerika Syarikat itu meminta palang dinaikkan satu sentimeter lebih tinggi daripada rekod 6.29m yang dilakukannya di Budapest bulan lalu.

Dua percubaan awalnya gagal, tetapi pada cubaan ketiga, Duplantis berjaya melepasi palang dengan sedikit goyangan sebelum ia kembali stabil, mencetuskan sorakan gemuruh di Stadium Nasional Tokyo.

“Saya terlalu gembira, sukar untuk dijelaskan. Dua minggu di Tokyo sangat menyeronokkan dan saya rasa satu-satunya cara untuk menutupnya adalah dengan rekod dunia. Itu mentaliti saya,” katanya.

Aksi itu menyaksikan saingan hebat apabila tujuh daripada 12 peserta melepasi 5.90m, namun akhirnya ia menjadi pertarungan antara Duplantis dan atlet Greece, Emmanouil Karalis.

Karalis yang meraih gangsa di Olimpik Paris lalu, kali ini membawa pulang perak dengan lompatan 6.00m, tetapi gagal menyaingi Duplantis selepas tersingkir pada 6.10m, 6.15m dan 6.20m.

Duplantis sebaliknya mudah melepasi 6.10m dan 6.15m sebelum menghadiahkan dunia olahraga satu lagi catatan bersejarah dengan rekod dunia baharunya.

“Segalanya tentang kelajuan. Jika larian saya sempurna, saya tahu ia akan berhasil,” katanya.

Sementara itu, atlet Australia, Kurtis Marschall mengulangi catatan peribadi terbaiknya 5.95m untuk meraih gangsa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN