KOTA BHARU – Dua ekor gajah yang dikenali sebagai Sanum dan Chery turut menyertai seramai 500 peserta yang menyertai perarakan sempena Sambutan Hari Malaysia Tahun 2025 Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini.
Perarakan sejauh 1.2 kilometer yang bermula dari Masjid Jamek Muhammadi ke Istana Balai Besar di sini turut melibatkan peserta-peserta yang memakai busana tradisional Melayu.
Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan, Mohamad Safaruddin Ismail berkata, Sanum yang berusia 20 tahun Chery, 22, dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Pahang bersama enam orang pengendali.
Menurutnya, perarakan itu diadakan hasil maklum balas daripada orang ramai termasuk pandangan netizen di media sosial mengenai perarakan gajah pada Festival Tekstil dan Warisan Kelantan pada pada 3 September lalu.
“Datuk Pengelola Bijaya Diraja Kelantan telah bersetuju untuk menganjurkan perarakan gajah sekali lagi bersempena menyambut Hari Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas perarakan gajah di pekarangan Istana Balai Besar, di sini hari ini.
Mohamad Safaruddin memberitahu, acara itu merupakan perarakan bergajah kali pertama diadakan sempena sambutan Hari Malaysia yang turut melibatkan seramai 13 anggota polis untuk kawalan keselamatan dan 20 pengawal istana.
“Kita mendapat kerjasama penuh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan yang telah meluluskan permohonan pihak Istana Kelantan untuk meminjam kedua-dua ekor gajah bagi menjayakan perarakan itu.
“Pihak istana juga tidak perlu menanggung sebarang kos pengurusan gajah kerana semuanya atas ihsan pihak Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














