SHAH ALAM – Lebih 10,000 bekas banduan dan penagih dadah mendapat peluang kedua untuk berubah hingga mampu meraih pendapatan RM5,000 sebulan hasil didikan dan tunjuk ajar melalui Program i-Kembali anjuran Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak) di sini.
Pengerusinya, Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata, kerjasama dengan Jabatan Penjara itu dilakukan sejak 2019 bertujuan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan bekas banduan dan kebergantungan pekerja asing.
Katanya, matlamat mereka adalah melahirkan baduan mempunyai produktiviti tinggi, relevan dan mengikut kehendak pasaran agar tidak tersisih daripada masyarakat.
“Latihan dan bimbingan termasuk dalam bidang pembinaan, pertanian, perladangan, penternakan, pemasaran dan pengurusan agar ada antaranya mampu menjadi usahawan mikro.
“Ada bekas banduan yang mengikuti program ini mampu meraih pendapatan sehingga RM5,000 sebulan termasuk bekerja di luar negara,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Siti Murni, beliau mengaplikasikan modul kerjaya bekas banduan dari negara Amerika Syarikat dan Australia yang kemudiannya dimurnikan mengikut acuan di negara ini.
Tambahnya, ia memberikan tumpuan antaranya detoks peserta, melatih minda dan jati diri untuk berjaya, latihan fizikal dan kemahiran, meditiasi selain mempelajari perkara baharu.
“Setiap bekas banduan di penempatan Pergak akan menjalani proses pemantauan selama 12 bulan dan ditempatkan dalam pelbagai sektor kerja,” katanya.
Ujar Siti Murni, bekas banduan berjaya membuktikan mereka menjadi penyumbang kepada kelangsungan sumber makanan dengan mengusahakan pertanian di tanah seluas 20.23 hektar di Johol, Negeri Sembilan.
Sementara itu, Pengurus i-Kembali, Mohd. Tahir Mohamad Salim berkata, kebanyakan bekas banduan berasal dari keluarga B40 yang tersepit dengan pelbagai masalah sosial dan ekonomi.
“Kita tidak membeza-bezakan status bekas banduan. Mereka akan keluar bekerja dan pulang ke penempatan menerusi pengangkutan disediakan.
“Sekiranya bekas banduan tidak kerja atau ingkar, kita akan melakukan penukaran tempat kerja paling maksimum sebanyak tiga kali,” katanya.














