SUNGAI BULOH – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas lalu melanggar tiang lampu jalan berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Jejantas Sungai Buloh, arah utara, pagi tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dalam kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Menurut bomba, sebaik tiba pada pukul 8.33 pagi, pasukan operasi mendapati sebuah kereta jenis Proton Satria GTI terbabas dan melanggar tiang lampu, menyebabkan pemandu tersepit di dalam kenderaan.
“Pasukan penyelamat memasang stabilizer pada kenderaan sebelum menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa.
“Namun, mangsa yang berusia 39 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.10 pagi.
Pihak bomba dalam kenyataan itu turut menasihatkan orang awam agar lebih berwaspada di jalan raya, mematuhi had laju dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. – KOSMO! ONLINE