RAUB – Operasi mencari dan menyelamat seorang pekerja kuari yang tertimbus dalam runtuhan batu di Kuari Wan Ahmad, Ulu Gali di sini, masuk hari ketiga hari ini dengan kekuatan lebih 79 anggota daripada pelbagai agensi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 tengah hari kelmarin, mangsa dikenali sebagai Muhammad Fazrul Illahi Ab Rahman, 30, dipercayai tertimbus ketika menjalankan kerja di kawasan kuari berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, operasi hari ini melibatkan kerjasama JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta pihak pengurusan kuari.
“Selain kekuatan anggota operasi turut dibantu dengan unit anjing pengesan (K9) polis serta penggunaan peralatan ‘monitoring telemeter’ daripada APM bagi mengesan pergerakan batu di lokasi.
“Keluasan kawasan pencarian turut diperluaskan daripada 50 kaki persegi semalam kepada 100 kaki persegi hari ini bagi meningkatkan keberkesanan operasi,” katanya di sini hari ini.
Semalam kerja-kerja mencari dan menyelamat berdepan cabaran besar kerana masih terdapat pergerakan tanah yang berisiko mengancam keselamatan anggota penyelamat.
Difahamkan, kawasan runtuhan berkenaan melibatkan anggaran seluas 27.9 meter persegi dengan keadaan liputan komunikasi yang terhad. – KOSMO! ONLINE














