fbpx
Muhammad Nazrin (dua dari kiri) bersama artis dan wakil penaja yang terlibat dalam KC Fest 2025 bermula pada 17 September ini di Kota Bharu, Kelantan.

Madoo Bee mahu jadikan KC Fest acara tahunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bagi mana-mana usahawan tidak kira perusahaan sederhana, mikro atau yang sudah kukuh empayarnya pasti mahu melihat rekod kewa­ngan yang stabil setiap tahun bagi membolehkan ia terus berkembang fasa demi fasa.

Selain menikmati kepuasan nilai angka yang baik dalam rekod kunci kira-kira mereka, ada perkara yang lebih mengujakan kumpulan usahawan ini, apabila mereka terlibat dalam program amal dan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tidak kira dalam skala yang kecil atau besar.

Bagi sebuah syarikat, Madoo Bee yang terlibat dalam beberapa segmen perniagaan berpotensi begitu bersemangat untuk tampil bersama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan HMS Maju Group untuk menjayakan Kelate Charity Festival 2025 (KC Fest 2025) yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan bermula 17 hingga 20 September ini.

Persiapan rapi sedang dijalankan bagi memastikan segala aktiviti yang dijadualkan berlangsung bersempena cuti sekolah ini bakal memberi manfaat kepada pengunjung yang disasarkan mencecah sehingga 50,000 orang.

Pengarah Eksekutif KC Fest, Muhammad Kamal Azmi Mohd. Radin berkata, karnival tersebut bakal meraikan 500 asnaf yang mana mereka akan menerima sumbangan daripada pihak penaja iaitu Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.

Menurut beliau yang juga pengasas Madoo Bee ini, KC Fest 2025 adalah program sosial dan tanda prihatin syarikat untuk terus membantu golongan asnaf atau yang memerlukan.

“Matlamat utama festival ini adalah untuk menggerakkan semangat kebajikan dan kesatuan rakyat, kita mahu sampaikan mesej bahawa rezeki boleh dikongsi, kasih sayang boleh disemai dan budaya boleh terus dipelihara.

“Dana festival ini yang diperoleh daripada sewaan reruai dan penjualan pakaian yang akan disumbangkan ke tabung KC Fest 2026. ,” katanya dalam satu pertemuan di sini baru-baru ini.

Beliau menyimpan hasrat mahu menjadikan festival mega ini dianjurkan setiap tahun untuk menjadikan ia sebagai salah satu tarikan pelancongan di Kelantan.

Selain diserikan dengan program hiburan daripada artis ter­kenal, pastinya festival ini akan mengetengahkan persembahan menarik daripada lebih 20 pe­nyanyi dikir mendapat perhatian hati rakyat Kelantan.

“Lebih menarik, terdapat segmen Malam Kerohanian yang akan menyaksikan 1,111 peserta selawat berkumpul dalam Selawat Perdana dan untuk Malam Kebudayaan pula, ia akan memecahkan rekod Kelantan dengan persembahan 1,111 orang pendikir di atas satu pentas besar selain dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api,” katanya.

Selain itu, mengulas mengenai pengoperasian syarikat, Pengurus Perniagaan dan Pertumbuhan Pemasaran Madoo Bee, Muhammad Nazrin Mohmad Isa berkata, syarikat terlibat dalam beberapa cabang bisnes berpotensi seperti pengeluaran air minuman dan produk kecantikan yang dihasilkan daripada sarang burung.

Ia juga terlibat dalam pembuatan perabot dengan tagline, Dari Hutan ke Rumah Anda dengan syarikat menggunakan kayu ­merbau untuk menghasilkan perabot mengikut tempahan pelanggan.

Setiap perabot berkenaan memiliki sijil khas yang menandakan keaslian hasil rekaan tersebut.

Selain itu, Madoo Bee juga menawarkan khidmat latihan dan konsultansi selain pengurusan majlis serta pemasaran.

Bagi produk air minuman, syarikat menawarkan TastyNest dalam beberapa perisa yang memiliki manfaat tersendirinya kepada mereka yang mengamalkannya. Ia terdiri daripada TastyNest Honey, TastyNest Luo Han Guo,TastyNest Red Dates dan TastyNest Longan.

Jelasnya, produk minuman yang telah mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dijual oleh pihak ibu pejabat melalui platform online.

“Selain itu, kami juga menawarkan produk penjagaan kecantikan yang dijenamakan di bawah Elara yang diperbuat da­ripada sarang burung yang dapat membantu mengurangkan kedutan, jeragat dan juga kulit wajah yang kusam.

“Buat masa ini, kami keluarkan pencuci muka dan serum sejak setahun yang lalu,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN