PETALING JAYA – Hujan lebat berterusan pagi tadi menyebabkan beberapa paras air di sungai Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya setakat pukul 11 pagi tadi.
Menerusi laman web info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Gombak di Jalan Tun Razak (F2), Kuala Lumpur melebihi paras bahaya dengan menunjukkan trend menaik sebanyak 4.1 meter (m).
Di Selangor, Sungai Langat di Batu 12, Hulu Langat aras air telah melebihi tahap bahaya sebanyak 0.83 meter dengan menunjukkan trend menaik.
Begitu juga di Sungai Bernam di Jambatan SKC, Hulu Selangor dan Sungai Bernam di Kampung Sungai Selisek Hulu Selangor masing-masing menunjukkan trend menaik melebihi paras bahaya.
Di Sungai Langat di Jenderam Hilir, Sepang paras air melebihi paras bahaya sebanyak 0.16 m namun menunjukkan trend menurun.
Sementara itu, paras air di Sungai Slim, Slim River, Muallim, Perak melebihi paras bahaya sebanyak 1.53 m serta menunjukkan trend menaik.
Di Utara, Sungai Kulim di Ara Kuda Seberang Perai Utara dan Sungai Tanjung Pauh di Terusan Utara Mada, Jitra, Kubang Pasu masing-masing turut menunjukkan paras air melebihi bahaya.
Begitu juga di Perlis, paras air di Sungai Gial di Kampung Gial, Arau melebihi tahap bahaya sebanyak 0.23m dengan menunjukkan trend menaik. – KOSMO! ONLINE















