fbpx
ZUBIMENDI mencuri perhatian apabila meledak dua gol ketika Arsenal mencatat kemenangan ke atas Forest di Emirates kelmarin. - FB ARSENAL

EPL: Belang Arsenal makin terserlah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Penggempur Arsenal, Viktor Gyokeres mengakui terkesima melihat dua gol yang berjaya dijaringkan rakan sepasukannya, Martin Zubimendi ketika membenam Nottingham Forest 3-0 di Emirates kelmarin.

Zubimendi membuka tirai jaringan pada minit ke-32 sebelum Gyokeres terus menjarakkan kedudukan dengan gol kedua pada awal separuh masa kedua bermula.

Pemain tengah dari Sepanyol itu kemudian melengkapkan gol kedua peribadinya ketika perlawanan berbaki 11 minit untuk berakhir membolehkan Arsenal meraih kemenangan.

“Saya tidak pernah melihat dia menjaringkan gol seperti itu ketika sesi latihan, jadi ia suatu yang menakjubkan. Tandukannya untuk gol kedua itu mengejutkan saya, namun ia sangat hebat untuk dia menjaringkan dua gol,” katanya.

Perlawanan itu jelas menjadi milik Arsenal terutama prestasi yang dipamerkan oleh semua muka baharu yang dibeli pada jendela perpindahan lalu termasuk Eberechi Eze dan Noni Madueke selain Gyokeres serta Zubimendi yang mencuri perhatian.

Gol yang dijaringkan oleh Gyokeres pada perlawanan itu juga menyaksikan dia kini sudah mengumpul tiga gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas melengkapkan perpindahan dari Sporting CP sebelum ini.

Sementara itu, pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui bahawa The Gunners mampu berada di kedudukan yang lebih baik pada penghujung musim ini sekiranya mereka berjaya mengatasi isu kecederaan.

“Dengan jumlah pemain dan skuad yang ada ketika ini, saya fikir kami mampu untuk mencapai standard terbaik dan kehadiran muka baharu mampu memberikan kami pilihan untuk menurunkan pasukan yang kuat dan mampu mengubah perlawanan,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI