BENTONG – Sebuah keluarga berhadapan detik cemas apabila terperangkap dalam banjir kilat yang melanda sebuah resort di Jalan Sum Sum Hilir, Kampung Janda Baik, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 pagi itu, empat mangsa termasuk seorang bayi berusia enam bulan dan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun nyaris berdepan risiko dihanyutkan selepas air tiba-tiba melimpah masuk ke kawasan resort berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, limpahan air daripada kawasan berhampiran menyebabkan paras banjir meningkat sehingga kira-kira 0.3 meter sekali gus menenggelami 10 bilik, sebuah chalet, satu unit ‘glamping’ serta dua khemah di resort itu.
“Sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Sebaik tiba di lokasi kira-kira pukul 5.38 pagi, komander operasi melaporkan banjir sudah mula surut. Hanya sebuah keluarga masih berada di kawasan resort ketika pemeriksaan dijalankan,”katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, meskipun keadaan air kembali surut, anggota bomba tetap menjalankan pemantauan rapi di sekitar resort bagi memastikan tiada sebarang ancaman yang boleh mengundang kemalangan jiwa. – KOSMO! ONLINE