PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap musibah banjir yang melanda negeri Sabah, ketika ini.
Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan memberi jaminan akan memastikan kebajikan rakyat terjejas diberi keutamaan.
Anwar berkata, beliau telah mengarahkan seluruh jentera Kerajaan Madani digerakkan segera agar bantuan dapat sampai tanpa sebarang gangguan.
“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup mangsa banjir dibela sebaiknya dengan tumpuan segera,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM11 juta melalui Kerajaan Negeri Sabah.
Selain itu, Anwar juga telah meluluskan tambahan RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara untuk pembaikan segera kemudahan asas serta agihan terus kepada mangsa yang terkesan.
Anwar menegaskan, kerajaan akan memastikan setiap keluarga yang terjejas segera menerima bantuan tanpa keciciran.
Beliau turut menyeru semua pihak agar bersatu hati, berpadu tenaga dan mengutamakan semangat ihsan dalam membantu rakyat.
“Zahirkan semangat kebersamaan dan kepedulian serta tanggungjawab bersama dalam menempuh ujian dahsyat ini,” ujarnya.
Sehingga kini, ribuan mangsa banjir di beberapa daerah di Sabah dilaporkan ditempatkan di pusat pemindahan sementara, dengan operasi penyelamatan dan penghantaran bantuan sedang giat dijalankan oleh agensi keselamatan dan pertahanan.- KOSMO! ONLINE














