PORT DICKSON – Hujan lebat berserta ribut sejak tengah malam tadi menyebabkan seramai 43 penduduk Kampung Jimah Lama, Siliau di sini, diarahkan berpindah selepas kediaman mereka terjejas banjir awal pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Ridzuan Mohamed Buniran berkata, mangsa terjejas membabitkan 27 orang dewasa dan 16 kanak-kanak.
“Banjir itu menjejaskan sembilan buah rumah dengan arahan perpindahan dikeluarkan seawal pukul 6 pagi selepas laporan diterima sekitar pukul 5 pagi. Bagaimanapun, hanya tiga keluarga setakat ini telah berpindah.
“Semua mangsa ditempatkan sementara di Balairaya Kampung Jimah Lama, “katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, keadaan cuaca ketika ini cerah, dengan paras air dilaporkan menurun perlahan dengan anggota keselamatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson masih melakukan pemantauan rapi di lokasi. – KOSMO! ONLINE