fbpx
QABIL Irfan berjaya menguasai kedua-dua perlumbaan di Estoril sekali gus menobatkannya sebagai juara ESBK biarpun saingan berbaki dua perlumbaan lagi di Jerez.

Qabil Irfan lakar sejarah banggakan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelumba sensasi negara, Qabil Irfan Azlan melakar sejarah gemilang apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) bagi kategori Talent 2025 selepas melengkapkan dominasi hujung minggu dengan kemenangan bergaya dalam Perlumbaan 2 di Litar Estoril, Portugal, sebentar tadi.

Kejayaan menjuarai Perlumbaan 2 itu mengesahkan statusnya sebagai juara musim ini secara matematik dengan kutipan mata yang tidak lagi mampu dikejar oleh pencabarnya, meskipun saingan masih berbaki satu pusingan di Jerez, November depan.

Dominasi Qabil di Portugal bermula sejak semalam apabila pelumba kelahiran Terengganu itu memenangi Perlumbaan 1 dengan jurang masa yang sangat besar, 14.1 saat (s).

Momentum cemerlang tersebut diteruskan Qabil dan sekali lagi tidak memberi ruang kepada pelumba-pelumba dari Eropah dalam Perlumbaan 2 hari ini untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut.

Jelas teruja dengan pencapaian itu, Qabil menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu impian yang menjadi kenyataan.

“Syukur Alhamdulillah. Ini adalah impian saya untuk menjadi juara Superbike Sepanyol (ESBK). Hari ini saya berjaya menjadi juara dan saya sangat gembira.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada pasukan yang banyak membantu menyediakan jentera saya serta kepada penaja, ibu dan bapa saya. Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kejayaan saya dan yang sentiasa menyokong saya,” katanya selepas perlumbaan.

Kemenangan berganda di Estoril ini melengkapkan musim luar biasa buat Qabil selepas pelumba pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly itu kini telah mengumpul enam kemenangan keseluruhan, sekali gus gah mengungguli carta kejuaraan dengan 252 mata, meninggalkan pencabar terdekat, Alessio Arnold dengan kelebihan yang tidak lagi boleh dicabar.

Lebih manis, dominasi hujung minggunya memastikan lagu Negaraku berkumandang sebanyak dua kali di bumi Portugal dengan Jalur Gemilang berkibar megah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN