fbpx
Tangkap layar rakaman kamera papan pemuka memaparkan kejadian itu.

Penjawat awam langgar kereta, ugut tumbuk wanita ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Seorang lelaki ditahan selepas terlibat dalam kejadian perselisihan faham dengan pemandu lain dan memandu dalam keadaan berbahaya di Plaza Tol Bangi, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata, suspek warga tempatan berusia 25 tahun yang juga merupakan penjawat awam ditahan ketika hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sekitar 9.50 malam semalam.

Beliau berkata, rampasan terhadap kenderaan Perodua Myvi dipandu suspek telah dilakukan di kawasan Dang Wangi selepas penahanan dibuat.

“Suspek direman pada pagi ini (semalam) dengan diwakili peguam dan dibenarkan reman satu hari sehingga 14 September oleh Majistret bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, pada Jumaat lalu polis mengesahkan telah menerima satu laporan polis daripada pengadu wanita tempatan berusia 31 tahun, mengenai suatu kejadian selisih faham dan memandu secara melulu di jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan.

Siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 6.10 pagi ketika mangsa sedang memandu kereta Perodua Myvi untuk ke tempat kerja melalui Plaza Tol Bangi.

Sebuah kereta Perodua Myvi warna biru dipandu suspek telah menghimpit dari arah belakang sebelum melanggar bahagian kiri hadapan kenderaan mangsa.

Selepas pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan berhenti di tepi jalan sebelum berlaku pertengkaran dan suspek bertindak menengking dan melakukan perbuatan seolah-olah mahu memukul mangsa.

Rakaman kamera papan pemuka yang memaparkan kejadian tersebut turut tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI